Bawang Oh Bawang!!!

Pagi tadi aku dengar news @ radio (otw nak pi keje kenalah layan😛 perasaan). Aku dgrlah news pasal harga bawang yg naik!!!  :-( Aiik, bawang pon nak naik gak ker? Dahler harga minyak naik, sayur naik, badan pon naik nie bawang pon nak naik gak. Aduhai, pasni aku tak payah masaklah (alasan…. :-P yerlah semua dah naik). Kita makan fast food jerlah. Nanti mati pon cepat kuang kuang kuang

Gaji pon alakat (ala2 + takat) yg ade. Adoi, ni yg tetiba nak pi berhijrah nie nak pi ke oversea ker : lol : Hua hua hua… Aduhai orang kita & negara kita!!! Marilah kita tanam bawang pulak. Alang2 nak menggalakkan tanaman pertanian semula di Mesia nie kan.

News @ Berita Harian

Kunta Kinte original: Musibah abai pertanian2011/01/07MASALAH barang pengguna, terutama barang makanan tiba-tiba hilang dari rak atau naik harga bukanlah perkara baru di negara kita. Hal ini berlaku juga di negara-negara lain. Malahan lebih buruk sampai terjadi rusuhan.

Di negara kita, hal ini boleh kata berlaku setiap musim perayaan. Pasal kita banyak musim perayaan dan musim cuti, maka kerap pula lah hal ini terjadi. Boleh kata sepanjang tahun.

//

Kunta Kinte perhatikan ada dua, tiga sebab hal ini terjadi. Selain permintaan yang lebih tinggi pada musim perayaan, bekalan boleh jadi kurang atau putus langsung bila terjadi pembelian panik macam surat khabar lapor berlaku ke atas minyak masak di Melaka baru-baru ini.

//

Kadang-kadang peniaga sengaja wujudkan suasana macam ini. Baru-baru ini, Kunta Kinte terbaca berita persatuan perniagaan gesa orang ramai beli-belah lebih awal untuk Tahun Baru Cina. Kemudian kita dengar pula berita pengeluaran limau Mandarin negeri China jatuh kerana cuaca buruk.

Berita macam inilah yang jadi punca pembelian panik dan kenaikan harga. Kadang-kadang tak betul pun. Misalnya mengenai limau Mandarin. Boleh kata setiap tahun pengimport, pengedar dan peruncit kata bekalan kurang jadi harga mahal. Tapi kita tengok, berbulan-bulan selepas Tahun Baru Cina limau Mandarin masih dijual.

Pembelian panik oleh pengguna dan kegiatan sorok bekalan oleh peniaga dah jadi amalan di negara kita. Lebih-lebih lagilah sekarang bila semua pihak boleh berhubung dan bertukar maklumat antara satu sama lain dengan mudah.

Dah jadi amalan pun di kalangan pengguna, khasnya suri rumah di pekan-pekan besar bertukar-tukar SMS mengenai harga, bekalan dan mutu barangan tertentu macam ikan dan sayuran.
Jadi, kalau cukup ramai pengguna dan pembekal bertukar-tukar maklumat mengenai bekalan dan harga minyak masak dalam sesuatu ukuran di sesuatu tempat misalnya, kegiatan ini boleh cetuskan pembelian panik atau kegiatan menyorok oleh pembekal.

Pengguna beli lebih daripada biasa atau sepatutnya dan pekedai pula sorok untuk jual dengan harga yang lebih mahal. Dengan sebab itu terjadilah kekurangan bekalan dan kenaikan harga.

Macam biasa, peniaga akan bagi macam-macam alasan untuk lariskan jualan dan di mana harga barangan terbabit tidak tertakluk kepada kawalan, mereka akan naikkan harga.

Maaf cakaplah, peniaga kita bukanlah orang yang paling disiplin, timbang rasa dan berhemah. Jika kita banding dengan peniaga di negara maju, peniaga kita banyak main kayu tiga dengan pengguna.

Kalau boleh ambil kesempatan, hatta dengan cara menipu sekalipun, mereka akan buat. Macam-macam jenis tipu. Tipu jenama, tipu mutu, tipu harga, tipu timbang, tipu kira.

Tipu apa saja asalkan boleh tambah untung. Apatah lagilah, majoriti peniaga di negara kita terdiri daripada mereka yang tidak ada halal dan haram atau dosa dan pahala dalam hukum hakam mereka.

Bagi mereka, kalau ada peluang jadi tauke rumah pelacuran atau kedai judi, mereka akan buat sebab hukum halal dan haram, dosa dan pahala tak ada dalam hidup mereka. Yang ada kejayaan dan kesenangan.

Bagi mereka, tak guna jadi orang baik kalau miskin dan dipandang hina. Tapi dengan wang ringgit mereka boleh ‘beli’ kedudukan dan pangkat. Mereka bagi rasuah dan sogokan sampai selamat daripada tindakan undang-undang, malah ada yang dibagi gelaran di-raja pula.

Jadi pengguna kenalah berjaga-jaga. Rajinlah sikit banding harga dan mutu barang. Antara kegemaran Kunta Kinte baca label barang-barang.

Belanja biarlah patut padan dan elakkan membazir. Maaf cakaplah kalau Kunta Kinte kata kita sudah jadi masyarakat yang membazir. Tengok saja makanan yang dibuang setiap hari.

Dulu lain, makanan yang tak habis dimakan kita bagi kepada ayam itik kita. Sekarang masuk tong sampah. Kunta Kinte rasa lagi baik untuk kesihatan kalau kita kurangkan sikit makan.

Kita ni dah terlebih makan. Ramai orang kita bukan saja gemuk, tapi dah gedempol atau orang sekarang kata obes.

Kita kena ingat, dengan pertambahan penduduk dunia dan kenaikan taraf ekonomi China dan India, permintaan makan akan naik dan harga pun akan jadi lebih mahal.

Import makanan kita pula bertambah tinggi. Bukan untuk makanan kita saja, tapi pendatang juga. Tak percaya, tengoklah banyak mana nasi seorang pendatang asing makan berbanding kita.

Itu tak dikira lagi kesan malapetaka ke atas pengeluaran makanan dunia. Harga gandum dan gula dah tentu naik kerana bah besar di Australia dan cuaca buruk di hemisfera utara. Ini semua kita kena ambil tahu dan bersiap sedia.

Pasal itulah Kunta Kinte selalu bagi amaran – abai pertanian dan kita mungkin kelaparan dan kebuluran. Tapi nampak-nampaknya kita masih lagi hangat-hangat tahi ayam dalam hal pengeluaran makanan ini. Wallahualam