Siapakah Ibuku?

Ibu yang kusayangi, sesungguhnya kasih sayangmu dan keperihatinanmu kepada diriku selama ini tidak mampu ku balas kerana sesungguhnya semuanya itu adalah sifat Ya Rahman dan Ya Rahim Allah, yang Allah campakkan kepadamu ibuku agar kau menyayangiku dan melindungiku sejak kecil sehingga dewasa. Sifat Ya Rahman dan Ya Rahim Allah ini lah yang masih kau rasakan walaupun diriku ini sudah bersuami. Kau tetap merinduiku dan ketika diriku balik kerumahmu kau tetap mencurahkan perhatianmu dan kasihmu sebagaimana diriku masih kecil dulu, tidak sedikitpun ada kekurangan yang kurasakan. Kau sentiasa mendoakan kesejahteraan kepada diriku dunia dan akhirat dengan sifat Ya Salam Yang Maha Sejahtera yang dicampakkan kedalam hatimu.

Namun ibuku sayang, diriku ini hanyalah hamba kepada Ya Rahman dan Ya Rahim. CintaNya dan KasihNya kepada diriku tidak akan mampu ku tukarkan dengan cinta dan kasih manusia. Maafkanku ibu, kerana diriku tidak mampu menyayangimu dan mencintaimu lebih dari sayang dan cintaku kepada Tuhanku Ya Malik yang Menciptakanku dan Ya Wahhab Yang Maha Pemberi, yang memberiku segala apa yang ku kecapi didunia ini.

Maafkanku ibu, kerana diriku terpaksa meninggalkanmu sentiasa demi melaksanakan tugas khalifah Allah untuk berbakti kepada suami dan mendidik anak-anak bagi membina generasi yang mengenal siapa dirinya dan siapa Tuhannya. Setiap arahan Allah akan pasti ku taati ibu, walaupun diriku tidak sempat menjengokmu sentiasa, kau masih ku sayangi sepertimana kau menyayangiku sejak masih kecil.

Tetapi sedarlah ibu, walau kau tidak merasa kasih sayangku, kasih sayang Allah Ya Rahman Ya Rahim kepada ibu tidak berbelah bagi, dan Dia tetap mendampingi ibu dan tidak pernah meninggalkan ibu walau sesaat sekalipun. Dia Ya Syakur amat menghargai jasa ibu membesarkan ku sehingga menjadi manusia yang berguna. Dia Ya Aliyy Yang Maha Tinggi Martabatnya tentu akan menaikkan martabat ibu kepada martabat yang tinggi atas pengorbanan ibu selama ini.

Ibu yang kusayangi, sekiranya ibu merasa sunyi, ingatlah kepada Ya Bashir, yang sentiasa menampakkan keagungan dan kewujudannya melalui setiap apa yang berlaku di dunia ini. Dia amat dekat kepadamu ibu, lebih dekat dari urat lehermu sendiri. Dia sentiasa berada disisimu menunggu-nunggu kau merayu dan merintih kepadanya ketika kau rasa kesunyian, ketika kau rasa tidak dipedulikan oleh anak-anakmu. Dia tetap mempedulikanmu ibu, usahlah ibu gusar, bimbang dan sedih. Dia Ya Mukmin akan memberi ibu rasa aman dan tenang.

Oleh itu ibuku, dekatkanlah diri kepadaNya, kepada Ya Hasib, yang Maha mencukupkan, nescaya dia akan mencukupkan keperluanmu. Ibuku, ingatlah kita akan kembali kepada Ya Malik dan Ya Kholiq, Yang Memiliki kita dan menciptakan kita. Persiapkanlah diri ibu dengan amalan mulia agar kita akan berjumpa di akhirat kelak dibawah lindungan Allah. Diriku akan sentiasa mendoakan mu ibu bagi kesejahteraanmu di dunia dan di akhirat dengan sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim Allah yang dicampakkan didalam hatiku.