Ibadah Haji

Sekadar gambar hiasan

 

Pengenalan

Haji dari sudut bahasa bermaksud menuju (ke suatu tempat). Al-Khalil berkata; Maksud haji ialah menuju kepada orang yang diagungkan. Dari sudut syarak pula ia bermaksud pergi menuju ke Baitullah al-Haram untuk menunaikan ibadah yang khusus dengan syarat-syarat yang khusus.

Umat Islam bersepakat mengatakan hukum menunaikan haji adalah fardhu dan merupakan salah satu rukun Islam. Tidak ada seorangpun yang menyangkalnya. Dalilnya ialah al-Quran, as-Sunnah dan al-Ijmak.

Dalil Al-Quran :

“Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Mekkah, yang berkat dan (dijadikan) petunjuk bagi umat manusia. Padanya ada tanda-tanda yang nyata (di antaranya ialah) Maqam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk di dalamnya, aman dan tenteramlah dia. Dan mengerjakan Haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah iaitu bagi mereka yang mampu mengadakan perjalanan ke Baitullah. Dan sesiapa yang mengingkarinya, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajat sesuatupun) dari sekalian makhluk” (Surah Ali Imran : 96-97)

Dalil As-Sunnah :

Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi SAW bersabda : “Islam dibina atas lima perkara : mengakui bahawa tiada Tuhan yang di sembah melainkan Allah dan Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, puasa pada bulan Ramadhan dan menunaikan haji ke Baitullah bagi yang mampu melakukannya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalil Al-Ijmak :

Para ulama’ telah sepakat tentang kefardhuannya dengan tiada seorangpun dari kalangan mereka yang membantah. Oleh itu mereka menghukum orang yang mengingkarinya sebagai murtad, kerana dia telah mengingkari apa yang sabit dengan Al-Quran, As-Sunnah dan Al-Ijmak. 

Hukum Orang Mati yang Belum Sempat Menunaikan Haji

Apabila haji telah wajib kepada seseorang (kerena sudah mampu) tetapi dia melewatkan perlaksanaannya dan tidak menunaikannya sehingga dia mati, maka dia mati dalam keadaan berdosa dan wajib memerintahkan orang melakukan haji bagi pihaknya. Perbelanjaan hendaklah diambil daripada harta si mati. Ia dianggap sebagai hutang dan harta pusaka tidak boleh dibahagikan kecuali selepas hutang dilunaskan.

Al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a :

Seorang wanita dari Juhainah datang menemui Rasulullah SAW dan berkata : “Sesungguhnya ibuku telah bernazar untuk menunaikan haji, apakah aku perlu menunaikan haji bagi pihaknya?”. Jawab Baginda : “Ya, tunaikanlah haji untuknya. Apa pandangan kamu kalau ibu kamu berhutang, apakah kamu perlu melunaskannya?”. Jawabya : “Ya”. Sabda Baginda : “Tunaikanlah hutang Allah dan hutang Allah lebih berhak untuk dilunaskan”. 

Hadith di atas menunjukkan bahawa menggantikan haji bagi orang yang telah meninggal dunia hukumnya adalah wajib, sama ada telah diwasiatkan oleh si mati atau tidak. Pendapat ini dipegang oleh Mazhab Syafie.

Hukum Orang yang Sakit Tidak Mampu Menunaikan Haji 

Orang yang tidak mampu menunaikan sendiri hajinya (iaitu orang yang sakit yang tiada harapan sembuh) dia wajib mengupah orang lain melakukan haji bagi pihaknya dengan upah yang setimpal. Sekiranya dia tidak mendapati orang yang dapat melakukan haji bagi pihaknya kecuali upahnya lebih daripada upah setimpal, dia tidak wajib melakukannya.

Diriwayatkan daripada Fadhal bin ‘Abbas :

Bahawa seorang wanita dari Khan’am bertanya : “Ya Rasulullah, kewajipan haji yang difardhukan Allah atas hamba-hamba-Nya, kebetulan datangnya dengan keadaan bapaku yang telah berusia lanjut (sangat tua) hingga dia tidak mampu lagi berkenderaan. Apakah boleh saya hajikan atas namanya?”. Jawab Baginda : ”Boleh”, dan peristiwa ini terjadi di waktu haji Wada’. (Muttafaqqun ‘Alaih : Sohih)

 

Sumber : Hukum Upah Haji

Lain-lain bacaan : Soal Jawab dalam Halaqah

 

Sertai : Contest | WeeWee … Uah

 

Nota Kaki : Alhamdulilah… Bersyukur kpd Allah & Semoga Allah memberikan Haji yg Mabrur