Kasihi, selalu dekati anak

ANAK-anak adalah permata paling berharga setiap pasangan. Mereka menjadi pelengkap kepada kebahagiaan yang dikecapi ibu bapa di dunia ini.

Ibu bapa bertanggungjawab mendidik anak mereka menjadi insan soleh dan solehah. Paling penting, anak perlu dilatih bersolat, dilatih mencium tangan serta memeluk dengan penuh kasih dan sayang.

Jika anak bijak dan sering memenangi pertandingan di sekolah, jangan lupa ucapkan tahniah, peluk dan cium mereka tanda penghargaan. Ketika usia mereka mencapai 14 hingga 21 tahun, jadikan mereka kawan.

Jangan pula pada usia begini ibu bapa mula merenggangkan hubungan dengan anak-anak hingga mereka menjadi anak derhaka. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Berguraulah dengan anak kamu ketika usianya satu hingga tujuh tahun. Berseronok dengan mereka, bergurau hingga naik atas belakang pun tak apa. Jika suka geletek, kejar atau usik anak asalkan hubungan rapat. Selepas tujuh hingga 14 tahun kita didik dan ajar, kalau salah pukullah dia (sebagai pengajaran).”

Sekadar gambar hiasan

 

 Ibu bapa mungkin mempunyai alasan tidak rapat dengan anak kerana sibuk. Kita boleh cuba cara lain iaitu apabila pulang di tengah malam, anak-anak sudahpun tidur, kita boleh pergi bilik dan mencium dahi mereka.

Walaupun anak tidur tetapi jiwanya sentiasa hidup. Jangan tunjuk sikap panas baran dan pemarah kepada mereka. Jangan sesekali mengherdik mereka dengan perkataan negatif seperti kurang ajar, bodoh atau dengan sumpah seranah kerana ia boleh jadi doa buat mereka.

Orang tua biasanya, pantang sungguh apabila anak menegur kesalahan. Jangan berasa tercabar kerana bisa ular tidak hilang walaupun menyusur akar.

Saidina Umar berkata, kanak-kanak tidak berdosa dan doa mereka mudah diterima.
Begitu juga dengan Rasulullah s.a.w, kalau berjumpa anak kecil, baginda hormat dan sayang.

Lagipun kanak-kanak kalau menegur memang ikhlas dan jangan ambil endah tidak endah. Perasaan anak juga mesti dihargai.

Sesetengah orang tua kurang bercakap dengan anak-anak dan kalau menegur pun dengan herdikan.

Anak rasa tersisih dan tidak dihargai. Kepada kawan tempat mereka me�ngadu, apabila jumpa kawan baik tidak mengapa. Jika Allah menurunkan hidayah, segeralah insaf dan bertaubat.

Tetapi apa caranya jika orang tua sudah meninggal tetapi ketika hidupnya kita derhaka? Apabila insaf, selalulah ziarah kubur emak ayah dan bacakan ayat suci untuknya.

Jumpa semula kawan atau jiran dan buat baik dengan mereka. Sedekah ke masjid atas nama ibu ayah. Walaupun ibu ayah sudah meninggal, minta maaf berkali-kali semoga ibu reda dan Allah ampunkan dosa mereka.

Allah Maha Pengampun dan luas rahmatnya. Tetapi jangan ambil kesempatan buat jahat kemudian bertaubat. Hidup pasti tidak tenteram.

Justeru, pertama, pastikan hubungan kita dengan Allah adalah baik kemudian turun pula ke peringkat kedua iaitu hubungan dengan ibu. Pastikan hubungan dengan ibu sentiasa harmoni dan lancar.

Hubungan dengan bapa sepatutnya sama dengan ibu tetapi dalam konteks Islam, kalau berlaku pertembungan, Nabi s.a.w suruh utamakan ibu.

Sebaik-baiknya, kasih sayang dan perhatian biarlah sama supaya kedua-duanya tidak berkecil hati. Begitu juga dengan nenek, walaupun kata-katanya ada yang mengarut tetapi jangan melawan.

Sebenarnya golongan nyanyuk dan tua mencabar kesabaran kita. Walaupun Allah tidak ambil kira kata-kata mereka, kita wajib mentaati dan menghormati golongan tua.

Begitu juga dengan keluarga mentua. Kita sayang anaknya kenapa tidak sayang orang yang melahirkan serta menjaga mereka juga? Tidak dinafikan, ada menantu yang berkecil hati dan memendam perasaan terhadap mentuanya.

Bersabarlah dan teruskan hubungan baik dengan mereka. Kewajipan anak lelaki pertama sekali kepada Allah, kedua kepada Rasul, ketiga emak dan emak mentua, keempat bapa dan bapa mentua dan kelima baru isteri.

Isteri kena faham, kalau suaminya sayang dan melebihkan ibu bapanya, itu memang wajar. Bagi anak perempuan pula keutamaan pertama adalah kepada Allah, kedua Rasul dan ketiga suami.

Justeru, jalan pintas ke syurga bagi anak-anak selain Allah adalah emak dan ayahnya. Perasaan mentua perlu dijunjung kerana mereka berhak ke atas menantu.

Seperti kisah Nabi Allah Ibrahim dengan anaknya Nabi Ismail a.s. Suatu hari, Nabi Ibrahim ke rumah anaknya dan kebetulan Nabi Ismail tidak ada di rumah.

Isterinya pun tidak kenal mentuanya. Menantunya bersikap kasar menyebab�kan Nabi Ibrahim berkecil hati. Sebelum pulang dia berpesan kepada menantunya, menyuruh suaminya supaya menukar alang rumah kepada yang baru.

Apabila Nabi Ismail pulang, isterinya pun menggambarkan rupa lelaki itu, menyampaikan pesan kepada suaminya itu. Nabi Ismail sedar itu adalah ayahnya.

Nabi Ismail insaf di sebalik simbol kata-kata ayahnya, yang isterinya bukan daripada kalangan wanita berakhlak, lalu diceraikan.

Sumber : Harian Metro

Sbnrnya… terlalu byk cabaran menjadi ibu, isteri & pekerja dlm satu masa. bEe juga tak terlpeas utk memarahi anak walau sbb kecil @pun mrhkan kpd suami… Nak pupuk perasaan sabar tu amatlah payah sbnrnya walau setiap hari kita bersabar! Cuma setiap kali lepas solat & bgn tidur, bEe mohon biar Allah mengurniakan bEe kesabaran yg tinggi utk menghadapinya. Bila dah marah anak, bEe rasa nak nangis tp itulah hakikatnya yg perlu ditempuhi setiap ibu…….

Nota Kaki : Kasihnya ibu membawa ke Syurga… Kasihnya ayah sementara berada!